The Bricks, Siswaniaga@USM merupakan satu projek transformasi Pasar Pelajar iaitu daripada sebuah tapak perniagaan ...
The Bricks, Siswaniaga@USM merupakan satu projek transformasi Pasar Pelajar iaitu daripada sebuah tapak perniagaan pelajar konservatif kepada sebuah bangunan perniagaan eksklusif dengan ciri keselamatan terkini di semua pintu masuk merangkumi pengawasan kamera litar tertutup 24 jam dan kemudahan bertaraf global yang direka khas hasil daripada wang kemenangan MoHE Entrepreneurial Awards (MEA) 2017 sebanyak RM300 ribu.
Menerima sentuhan rekaan dalaman daripada YBrs. Profesor Dr. Aldrin Abdullah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM; The Bricks menawarkan tiga ruang aktiviti iaitu Ole-Ole, D’Spot dan D’Meet yang bersinergi antara aktiviti keusahawanan, pengajaran dan pembelajaran serta pembangunan sahsiah pelajar itu sendiri.
Ole-ole memperagakan produk jualan eksklusif berbentuk cenderamata yang dihasilkan oleh para pelajar, pensyarah, staf dan alumni USM. Antara cenderamata yang terdapat di sini adalah lukisan, barangan hiasan, barangan pejabat, barangan kecantikan, hiasan dapur, gajet, cokelat, terrarium serta tumbuhan hiasan dan pakaian dengan pelbagai rekaan unik yang hanya terdapat di sini.
D’Spot merupakan ruang strategik yang disediakan untuk galeria pameran. Berkedudukan di pintu masuk utama The Bricks, ruang pameran ini sudah tentu memberi impak tinggi kepada industri yang ingin mempamerkan produk serta perkhidmatan mereka kepada para pengunjung. Selain kedudukan strategik dan pencahayaan yang baik, D’Spot turut menyediakan kemudahan pakej sewaan kabinet dan keperluan pameran dengan harga yang sangat berpatutan.
D’Meet telah direka khusus bagi pengajaran dan pembelajaran serta ruang berhimpun para cendiakawan melontarkan idea dan berkongsi ilmu. Para pengunjung boleh menggunakan kemudahan media, siaraya berteknologi moden dan internet berkelajuan tinggi yang ditawarkan melalui pakej sewaan istimewa. Tidak ketinggalan, ruang ini juga boleh ditransformasi menjadi ruang santai. Perkhidmatan meja snooker bertaraf antarabangsa dan set karaoke dengan pilihan senarai lagu antarabangsa terkini turut boleh dilanggan.
Kesemua aktiviti di ketiga-tiga ruang ini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar USM melalui Program Smart Mentoring and Entrepreneurship Training (SMART) yang mensasarkan Graduan Usahawan. Usahawan Pelajar yang menyertai program ini dibimbing secara latihan amali dalam mengendalikan aktiviti keusahawanan sebenar. Latihan amali ini menjadi nilai tambah dan membantu dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan mereka selepas bergraduasi.
Pembinaan The Bricks, Siswaniaga@USM telah mengukuhkan dan meneruskan kelestarian ekosistem keusahawanan di USM. Program khas yang dibangunkan sebagai pengisian aktiviti keusahawanan di The Bricks dapat melahirkan lebih ramai Usahawan Graduan yang mampu mencipta peluang pekerjaan. Ini bertepatan dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Keusahawanan Graduan Kementerian Pengajian Tinggi dan selari dengan Pelan Tindakan Keusahawanan 2021-2025 Institusi Pengajian Tinggi.