The Bricks - SISWANIAGA@USM


 

4516 dilihat - 2 tahun yang lepas

User Photo
USM
The Bricks, Siswaniaga@USM merupakan satu projek transformasi Pasar Pelajar iaitu daripada sebuah tapak perniagaan ...

The Bricks, Siswaniaga@USM merupakan satu projek transformasi Pasar Pelajar iaitu daripada sebuah tapak perniagaan pelajar konservatif kepada sebuah bangunan perniagaan eksklusif dengan ciri keselamatan terkini di semua pintu masuk merangkumi pengawasan  kamera litar tertutup 24 jam dan kemudahan bertaraf global yang direka khas hasil daripada wang kemenangan MoHE Entrepreneurial Awards (MEA)  2017 sebanyak RM300 ribu.

 

Menerima sentuhan rekaan dalaman daripada YBrs. Profesor Dr. Aldrin Abdullah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM; The Bricks menawarkan tiga ruang aktiviti iaitu Ole-Ole, D’Spot dan D’Meet yang bersinergi antara aktiviti keusahawanan, pengajaran dan pembelajaran serta pembangunan sahsiah pelajar itu sendiri.

 

Ole-ole memperagakan produk jualan eksklusif berbentuk cenderamata yang dihasilkan oleh para pelajar, pensyarah, staf dan alumni USM. Antara cenderamata yang terdapat di sini adalah lukisan, barangan hiasan, barangan pejabat, barangan kecantikan, hiasan dapur, gajet, cokelat, terrarium serta tumbuhan hiasan dan pakaian dengan pelbagai rekaan unik yang hanya terdapat di sini.

 

D’Spot merupakan ruang strategik yang disediakan untuk galeria pameran. Berkedudukan di pintu masuk utama The Bricks, ruang pameran ini sudah tentu memberi impak tinggi kepada industri yang ingin mempamerkan produk serta perkhidmatan mereka kepada para pengunjung. Selain kedudukan strategik dan pencahayaan yang baik, D’Spot turut menyediakan kemudahan pakej sewaan kabinet dan keperluan pameran dengan harga yang sangat berpatutan.

 

D’Meet telah direka khusus bagi pengajaran dan pembelajaran serta ruang berhimpun para cendiakawan melontarkan idea dan berkongsi ilmu.  Para pengunjung boleh menggunakan kemudahan media, siaraya berteknologi moden dan internet berkelajuan tinggi yang ditawarkan melalui pakej sewaan istimewa. Tidak ketinggalan, ruang ini juga boleh ditransformasi menjadi ruang santai. Perkhidmatan meja snooker bertaraf antarabangsa dan set karaoke dengan pilihan senarai lagu antarabangsa terkini turut boleh dilanggan.

 

Kesemua aktiviti di ketiga-tiga ruang ini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar USM melalui Program Smart Mentoring and Entrepreneurship Training (SMART) yang mensasarkan Graduan Usahawan. Usahawan Pelajar yang menyertai program ini dibimbing secara latihan amali dalam mengendalikan aktiviti keusahawanan sebenar. Latihan amali ini menjadi nilai tambah dan membantu dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan mereka selepas bergraduasi.

 

Pembinaan The Bricks, Siswaniaga@USM telah mengukuhkan dan meneruskan kelestarian ekosistem keusahawanan di USM. Program khas yang dibangunkan sebagai pengisian aktiviti keusahawanan di The Bricks dapat melahirkan lebih ramai Usahawan Graduan yang mampu mencipta peluang pekerjaan. Ini bertepatan dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Keusahawanan Graduan Kementerian Pengajian Tinggi dan selari dengan Pelan Tindakan Keusahawanan 2021-2025 Institusi Pengajian Tinggi.


 

Baca Seterusnya Baca Sedikit

Profil Pembentang
Prof. Dr. Aldrin Abdullah dilahirkan dan dibesarkan di Selangor. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda ...

Prof. Dr. Aldrin Abdullah dilahirkan dan dibesarkan di Selangor. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang (BSc) Perumahan, Bangunan dan Perancangan, (BA) Seni Bina dari Universiti Sains Malaysia. Beliau juga pemegang Ijazah Sarjana (Masters) dari University of Sheffield, UK. Beliau kemudian melanjutkan pendidikan beliau dalam bidang kedoktoran di university tersebut. Selepas tamat, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia bermula tahun 1999 sehingga sekarang.

Prof. Dr. Aldrin telah dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya pada tahun 2004, seterusnya menjadi seorang Profesor pada tahun 2015. Sepanjang 20 tahun berkhidmat di USM, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Dekan dan kemudian menjadi Dekan untuk Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan. Beliau dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni bermula 1 Mac 2019 hingga 28 Februari 2022.

Selain daripada tanggungjawab utama beliau sebagai seorang Profesor dan Timbalan Naib Canselor, Prof. Dr. Aldrin juga aktif dalam aktiviti komuniti dan kemasyarakatan, dan beliau telah banyak membantu dalam mereka bentuk banyak ruangan awam. Dedikasi dan kerja keras beliau telah diiktiraf oleh university apabila beliau telah dianugerahkan dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2002, 2005, 2017 dan 2019.

Baca Seterusnya Baca Sedikit

Kategori Program
Inovasi